Thursday, August 19, 2010

Ini tentang sebuah teater yang telah dipentaskan 41 kali, lebih dari 35 buah tempat, diseluruh Malaysia termasuk di masjid, surau, IPTA, Sekolah, dewan, Kilang dan kawasan terbuka.

Ada sebuah Hadis, riwayat Bukhari dan Muslim, mengenai orang yang tidak ikut keluar berperang bersama Rasulullah saw. Sebenarnya Hadis ini merupakan cerita pengalaman orang itu sendiri, dan diceritakan oleh orang itu sendiri, dengan panjang lebar. Hadis ini merupakan salah sebuah Hadis yang terpanjang.

Ia bersumber dari Abdullah bin Ka'ab bin Malik, bahawa Ka'ab bin malik sendiri yang menceritakan kisah pengalaman yang dilaluinya apabila dia tidak ikut keluar berperang bersama Rasulullah saw dalam Perang Tabuk.

Hadis ini agak unik dan istimewa. Lain dari yang lain. Ka'ab bin Malik seorang penyair dan sahabat Nabi, menceritakan pengalamannya yang merupakan dilema yang dialaminya akibat dia tidak ikut berperang. Segala resah gelisahnya, segala persoalan dalam dirinya, penyesalannya kerana tidak ikut berperang sedangkan dia sendiri tidak pasti mengapa dia tidak ikut berperang, dan persoalan sama ada hendak bercakap benar atau hendak menipu menyatakan alasan palsu kepada Rasullullah, dan sebagainya.

Makanya saya dapati Hadis ini sangat menarik. Perwatakan Ka'ab sewaktu dia menceritakan dilemanya itu adalah sebuah perwatakan yang sungguh dramatik dan teatrikal. Maka apa lagi! Untuk orang teater seperti saya, ini adalah sebuah bahan yang sangat baik untuk diolah menjadi sebuah karya teater.

Maka lahirlah sebuah skrip teater lakonan satu orang (mono drama), sekitar 40 - 45 minit pementasan. Teater dari Hadis Nabi. (Sebelum ini saya telah menghasilkan Teater dari Al-Quran, iaitu "Teater Nabi Yusuf").

Teater dari hadis Nabi yang saya beri judul "Menunggu Kata Dari Tuhan" ini kini sedang dalam latihan. Insya Allah 30 Mac ini akan dipentaskan di Kota Bharu. Dilakonkan oleh Sabri Yunus. Dibantu dengan permainan muzik secara 'live' oleh Sani Sudin. Bukan sahaja secara 'live' tetapi pemain muzik itu sendiri seperti turut sama berlakon menyampaikan cerita itu melalui muzik. Dia hadir di atas pentas, member interaksi muzik kepada lakonan Sabri.

Ini sebuah interpretasi teater terhadap hadis Ka'ab tersebut. Kemasukan muzik yang secara begitu itu mungkin suatu tindakan yang agak radikal. Saya pun belum pernah mencuba pendekatan ini, dan belum pernah melihat orang lain melakukannya seperti itu. Jadi, kita lihatlah nanti bagaimana kesannya.

Sebenarnyanya sebelum mengajak Sabri dan Sani menjayakan teater ini, saya telah mencuba untuk berlakon sendiri, dengan diarah oleh Dr Zainal Latiff. Ada beberapa orang kawan yang mencadangkan demikian. Tujuannya supaya ia mudah dipentaskan di mana-mana saja. Hanya seorang pelakon. Ke mana saya pergi pun ia boleh dipentaskan Tanpa cerewet dengan soal bayaran dan sebagainya.

Tetapi setelah beberapa kali latihan, jadual aktiviti budaya saya yang agak ketat menyebabkan idea berlakon sendiri itu terpaksa dibatalkan. Namun idea hendak mementaskannya di mana-mana itu tidak dibatalkan. Ia tetap diteruskan.

Saya melihat usaha ini seperti ustaz mengajar Hadis. Cuma cara mengajarnya sahaja berbeza. Namun yang dipersembahkan tetap sebuah Hadis. Dan daripada Hadis yang panjang ini pelbagai ilmu dan mengajaran boleh diambil oleh penonton.

Khalayak yang menontonnya akan diperlihatkan proses yang dialami oleh seorang yang akhirnya bertaubat sunggun-sungguh dengan penuh penyesalan dan berserah diri kepada Allah. Bayangkanlah dan fikirkanlah, di zaman itu Rasulullah boleh menyerahkan hukuman ke atas sesuatu perkara itu langsung kepada Allah, seperti dalam kes Ka'ab ini. Dan akhirnya Allah menjawab langsung kepada permasalahan Ka'ab itu melalui wahyu yang diturunkan kepada Rasulullah.

Taubat Ka'ab diterima Allah. Orang yang bersalah kerana tidak ikut pergi berperang itu tanpa sebab-sebab yang munasabah, tetapi oleh kerana kejujurannya mengaku terus-terang kepada Rasulullah saw dan bersedia untuk menerima apa jua hukuman, lalu dia dihukum dan diuji dengan ujian yang berat. Seluruh mansyarakat memboikot tidak bercakap dan berurusan dengan dia selama 50 hari. Akhirnya taubat dia diterima Allah.

Zaman dulu berperang di medan perang. Zaman sekarang "berperang" itu tidak semestinya pertempuran di medan perang. Berjihad untuk menegakkan kebenar itu pun ya.

Dan betapa tingginya Islam menilai sikap seseorang yang memilih untuk tidak bercakap dusta walaupun dia perlu menghadapi risiko yang sangat berat.

Satu perkara yang menarik juga, ketika Ka'ab sedang tertekan disebabkan semua orang memboikot dia, Raja Ghassan menghantar wakil menemui Ka'ab dan menawarkan pertolongan. Reaksi spontan Ka'ab: "Apa yang seorang Raja boleh bantu," katanya. "Ini masalah aku dengan tuhan"

(Dipetik dari tulis Dinsman yang disiarkan dalam Harakah (Kolum Wacana Budaya), 20 Mac 2009)

No comments:

Post a Comment